Wednesday, January 6, 2016

Hayatilah (Tadabbur) Al-Quran

Bismillahirrahmanirrahim..
(Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang..)
Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh..
(Semoga keselamatan, keberkahan, dan kasih sayang (rahmat) dari Allah SWT menyertai kalian..)

Allah menyampaikan peringatanNya melalui ayat-ayat Al-Quran. Amat penting untuk kalian mentadabburkan (menghayati) Al-Quran supaya kalian dapat memahami apa yang Allah ingin sampaikan. Walaupun Al-Quran sudah diturunkan lebih 1400 tahun yang lalu, Kitab Al-Quran adalah salah satu mukjizat yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW yang membenarkan Kitab-Kitab sebelumnya. Mukjizat adalah satu keajaiban dan kerana itu, pengisian Al-Quran tertakluk kepada seluruh umat, termasuk masyarakat zaman moden generasi X, Y, dan Z. Al-Quran bukanlah kisah dongeng, bukanlah kisah orang zaman Nabi semata-mata. Setiap manusia adalah makhluk ciptaan Allah dan tiada satu pun yang terlepas dari pemerhatianNya. Tidak seperti kitab-kitab terdahulu yang banyak diubah manusia, kitab Al-Quran sentiasa terpelihara. Ingat. Tuhan itu mestilah Maha Bijaksana dalam mengisi KalamNya. Salah satu nama Allah di dalam Asma'ul Husna adalah Al-Hakim, iaitu Maha Bijaksana. Allah berfirman,

Bagi setiap umat telah Kami tetapkan syariat yang tertentu untuk mereka lakukan, maka janganlah sekali-kali mereka membantah kamu dalam urusan ini dan serulah mereka kepada Tuhanmu. Sesungguhnya kamu benar-benar berada pada jalan yang lurus. 
(Quran ; Al-Hajj : ayat 67)

Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengemukakan kepada umat manusia pelbagai contoh perbandingan dalam Al-Quran ini, supaya mereka mengambil peringatan dan pelajaran.
(Quran ; Surah Az-Zumar : ayat 27)

Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu Kitab Suci Al-Quran yang menyatakan segala kebenaran kepada umat manusia seluruhnya. Oleh itu sesiapa yang mendapat hidayah petunjuk, maka faedahnya adalah untuk dirinya sendiri, dan sesiapa yang sesat, maka bahaya kesesatannya itu tertimpa ke atas dirinya sendiri, dan engkau bukanlah orang yang bertanggungjawab terhadap mereka.
(Quran ; Surah Az-Zumar : ayat 41)

Perlu difahamkan, selain ayat Muhkaamat, Allah banyak menyampaikan mesejNya kepada diri melalui ayat Mutasyaabihat di mana tafsir sebenar hanya ada pada Allah dan Allah sahajalah yang berhak mengubah mana-mana ayatNya. Adalah menjadi satu kesesatan bagi seseorang yang tidak mempunyai ilmu tetapi masih mahu mentafsirkan ayat Mutasyaabihat kerana orang sedemikian akan mentafsirnya mengikut logik akal, hawa nafsu, dan agak-agakan sedangkan kami mentafsir mengikut apa yang ditunjuk Tuhan. 

Kerana itu, diri meminta kepada kalian supaya bertadabbur kepada setiap ayat Al-Quran. Cuba baca, fahami, dan hayati dengan teliti. Sebagai contoh (bergantung kepada ayat),

  • Rasul-rasul : Saksi Allah dan Rasul (utusan Allah)
  • Kaum kafir : Orang Kafir, Kafir setelah beriman (tidak mahu menerima hukum-hukum Allah), Musyrik, Fasik.
  • Orang yang diberi ilmu : Orang yang diberi ilmu hakikat, makrifat, laduni, kasyaf, dan lain-lain
  • Hari pembalasan : Hari Allah datangkan azab (tidak semestinya hari Kiamat)
  • Adakan Tuhan lain bersama Allah : Orang Kafir dan Islam yang mempersekutukan Allah 
  • Orang yang diberikan Kitab : Agamawan/Orang Islam yang tahu pengisian Al-Quran
  • Kaum Aad, Tsamud, dan lain-lain : Kaum Melayu
  • Kafir dari Ahli Kitab : Agamawan yang tidak benar-benar beriman/Orang Islam yang engkar
  • Membunuh : Menzalimi
  • Wahyu : Ilham

Tetapi jika kalian tidak dapat menghayati pengisian Al-Quran, bahkan langsung tidak memahami pengisiannya, bimbanglah kalian dengan diri kalian sendiri kerana dikhuatiri hati kalian mungkin terkunci. 

Mengapakah mereka tidak berusaha memahami serta memikirkan isi Al-Quran? Ataukah hati mereka terkunci?
(Quran ; Surah Muhammad : ayat 24)

Dan di antara mereka ada orang yang mendengarkanmu (membaca Al-Quran), padahal Kami telah menutup hati mereka yang menghalang mereka dari memahaminya, dan Kami letakkan sumbatan di telinga mereka. Dan jika pun mereka melihat segala kebenaran, mereka tidak mahu beriman dengan keterangan itu. Sehingga apabila mereka datang kepadamu untuk membantahmu, orang kafir itu berkata : "Al-Quran ini tidak lain hanyalah dongengan orang dahulu."
(Quran ; Surah Al-An'am  : ayat 25)

Kunci kepada hati kalian adalah mendekatkan diri kepada Allah dan Rasul, taat kepada perintahNya, tidak mempersekutukanNya dengan sesuatu, mengagungkan Allah dengan sebenar-benarnya, Insya Allah semula lapisan dan penghalang itu akan dibuka. 

Jika ada yang berbeza pendapat mengenai penyampaian ini, diri ingin memberi penekanan, bukanlah diri ini yang perlu kalian yakini. Tetapi yakinlah dengan ayat-ayat Allah. Taatlah kepada Allah dan Rasul jika kalian benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Ambillah pengajaran dari Al-Quran. Sedarkanlah diri kalian bahawa kita semua adalah hamba Allah dan janganlah kalian mengutamakan dunia lebih dari Allah. 

Bagi orang yang mengambil pengajaran daripada ayat-ayat Al-Quran, kalian mendapat khabar gembira dari Allah dan sentiasa berada di dalam rahmatNya. Tetapi bagi orang yang mendustakan, ketahuilah, terlalu banyak ancaman Allah kepada orang yang seperti kalian di dalam Al-Quran.

Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan sebaik-baiknya (dari segi hukum agama), mereka itulah orang-orang yang akan diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang yang berakal sempurna.
(Quran ; Surah Az-Zumar : ayat 18)

Aku akan memalingkan orang yang sombong di muka bumi tanpa alasan yang benar dari (memahami) ayat-ayatKu daripada tanda-tanda kekuasaanKu. Jika mereka (memahami) ayat-ayatKu, mereka tidak beriman dengannya. Dan jika mereka melihat jalan yang membawa kepada petunjuk, mereka tidak mahu menempuhnya. Yang demikian adalah kerana mereka mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka sentiasa lalai daripadanya. 
(Quran ; Surah Al-A'raf : ayat 146)

0 comments:

Post a Comment

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Free Samples By Mail